Seorang kanak-kanak lelaki kini berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas dipercayai mengalami sesak nafas akibat tersedak gula-gula berbentuk mata, menyebabkan kekurangan oksigen dan pengsan.
Mangsa membeli gula-gula berbentuk mata dari gerai luar sekolah sebelum kelas bermula. Selepas memakannya, dia berasa tidak selesa dan meminta izin ke tandas. Namun, dalam perjalanan, dia rebah dan tidak sedarkan diri. Guru segera menghubungi ambulans, dan pemeriksaan melalui panggilan video mendapati gula-gula tersekat di kerongkongannya. Dalam poket bajunya, turut ditemui sebiji lagi gula-gula yang sama.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, merayu kepada orang ramai agar tidak menuding jari kepada sesiapa atas kejadian ini.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada siapa yang menginginkan perkara ini berlaku, termasuk dirinya dan isterinya, Nuraini Mohamad Isa.
Walaupun gula-gula berjaya dikeluarkan oleh petugas perubatan, tetapi kanak-kanak itu telah mengalami kekurangan oksigen dalam tempoh yang lama menyebabkan keadaannya semakin kritikal dan masih koma hingga kini.
💬 “Doktor memberitahu bahawa jika sehingga hari Jumaat tiada sebarang tindak balas daripada mangsa, mereka mungkin akan menghentikan semua rawatan.”
Keluarga merayu doa orang ramai agar Mohamad Fahmi diberikan keajaiban untuk kembali pulih.